Isnin, 10 November 2008

Ekspidisi Lukut


Lokasi: Perairan laut Lukut-Port Dickson, Negeri Sembilan
Tarikh: Khamis, 3 Julai 2008
Jumlah perbelanjaan: RM 310
Umpan: udang hidup, udang dan sotong

Catatan

Tanggal 3 Julai 2008 yang jatuh pada hari Khamis, saya bersama rakan- rakan pancing saya sepakat untuk memilih Lukut sebagai destinasi pancing kami pada kali ini. Ianya juga adalah bagi memenuhi tuntutan aktiviti kokurikulum universiti kami ataupun lebih dikenali dengan aktiviti elektif. Selepas daripada beberapa misi sebelum ini, kami memilih untuk memancing di kawasan persisiran pantai Lukut bagi mewujudkan variasi dalam ekspidisi kami pada kali ini (misi sebelum ini kami telah meneroka laut dalam di Kudat, kelong di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam dan kolam pancing di Angler’s Lounge, Sungai Buah).

Segala persiapan telah kami persiapkan pada hari sebelumnya, baik daripada persediaan umpan, joran, peti ais dan segala kelengkapan yang diperlukan. Justeru, pada awal-awal pagi lagi kami sudah bangun bagi membuat pemeriksaan kelengkapan buat kali yang terakhir. Pada pukul 8.30 pagi, setelah mengalas perut dengan sekeping roti canai dan secawan teh panas, kami mula bergerak ke Lukut dari pekan Dengkil. Perjalanan yang memakan hampir sejam itu amat mengujakan kami kerana sudah hampir sebulan kami tidak pergi memancing ke mana-mana kerana dek kesibukan bagi menghadapi ‘professional exam’ yang menjadi pra syarat untuk kami melangkah ke tahun ke-3 dalam bidang perubatan.

Setelah lama memandu, akhirnya kami tiba ke destinasi. Kedatangan kami disambut dengan sekumpulan kera yang memang menjadi penghuni rasmi di jeti Lukut itu. Kemudian, kami terus mengangkat segala peralatan yang di bawa ke bot yang telah disewa manakala Burg (bendahari dan perunding Angler’s CUCMS) pergi menguruskan bayaran sewa bot dan umpan udang hidup yang boleh di dapati daripada pengurus Ma Mode Kelong cawangan Lukut iaitu encik Rosli. Nasib kami juga bertuah pada hari itu kerana encik Rosli meminjamkan kami dengan alat pengesan sonarnya (fishfinder). Biasanya sebanyak RM 20 akan dikenakan kepada pemancing- pemancing yang ingin menyewa alat tersebut.

Setelah segala urusan selesai, kami memulakan perjalanan merentasi perairan Lukut bagi mencari lubuk ikan di sana. Sebagai sesi pemanas, kami menghentikan bot kami setelah 15 minit memulakan perjalanan. Jarak perjalanan dari dianggarkan lebih kurang 2 kilometer. Aktiviti pemanas badan itu agak meriah kerana pelbagai jenis ikan menggugah joran kami. Ikan pari, timun, gelama dan grout menghiasi hasil tangkapan kami.

Setelah semua berpuas hati dan hasil tangkapan mulai menurun, kami meneruskan perjalanan. Pada masa yang sama, kami dapati cuaca begitu mencemburui aktiviti memancing kami ketika itu kerana mengikut anggaran kami hujan akan turun tidak lama lagi. Setelah 20 minit berjalan, kami berhenti lagi. Kali ini jaraknya lebih jauh dari persisir pantai dan kedalaman laut adalah lebih kurang 50-60 kaki. Kami bersyukur kepada Tuhan, sekali lagi, tangkapan kami pada ketika itu cukup memberansangkan. Pelbagai jenis ikan singgah pada batang joran kami. Paling memberansangkan 2,3 ekor senangin menghiasi tangkapan kami pula pada kali ini. Lebih kurang sejam kami memancing di situ, cuaca mula berubah. Hujan mula turun dan laut mula bergelora. Mengikut bacaan ‘fishfinder’, arus di dasar laut agak kuat. Jadi kami menjangkakan, tangkapan ikan selepas ini pasti akan berkurangan, tidak seperti awal-awal tadi.

Setelah hasil tangkapan mulai berkurang kembali, kami memutuskan untuk bergerak ke kawasan batu karang (berhampiran dengan kawasan pulau). Hujan masih lagi turun dengan lebat dan laut semakin bergelora, namun ia tidak menggugah hasrat kami untuk terus memancing ketika itu. Bacaan pada “fish finder” menunjukkan ada sekumpulan ikan di kawasan itu tetapi hanya seekor ikan timun yang singgah di joran kami. Seperti yang dijangkakan awal-awal tadi, keadaan cuaca ini memang tidak memihak kepada kami dan jumlah tangkapan ikan begitu menghampakan.Kerana hampa dengan situasi tersebut, kami memutuskan untuk singgah di bandar Port Dickson untuk rehat, solat dan membeli sedikit makanan untuk sekadar mengalas perut. Pada pukul 4, setelah lebih kurang 45 minit kami singgah di sana, kami mula meninggalkan Bandar Port Dickson dan menyambung aktiviti kami.

Ketika itu, hujan sudah mula berhenti dan laut tidak lagi hebat bergelora seperti sebelumnya. Namun, tangkapan kami pada petang itu masih lagi menghampakan. Tidak banyak ikan singgah pada umpan kami. Mungin arus di dasar laut yang begitu kuat merencatkan jumlah tangkapan kami petang itu. Setelah hampir sejam setengah keadaan ini berlansung, kami memutuskan untuk mengakhiri ekdpidisi ini dengan memancing di muara.

Di muara, tangkapan juga tidak begitu memberansangkan. Hanya seekor dua ikan tersangkut pada mata kail kami seperti sembilang, belut dan juga gelama. Walau apa pun, kami tetap berpuas hati kerana pada ekspedisi kami kali ini, senagin yang sangkut pada mata kail kami pada ekspidisi kali ini agak besar.apabila hari mula merangkak senja, kami pun pulang ke jeti. Dengan keadaan laut dan cuaca yang tidak begitu baik, hasil tangkapan kami pada kali ini bolehlah dianggap memberansangkan.

Pada ekspedisi kali ini, kami telah berjaya menyempurnakan satu lagi misi memancing yang berbeza iaitu dengan memancing di kawasan persisir pantai dan muara. Banyak pengalaman telah ditimba dari ekspedisi ini. Jadi, kami berharap pada ekspedisi kami akan datang, iaitu di Sedili, Johor akan memberikan satu lagi memori pancing yang indah serta menghasilkan lebih banyak hasil tangkapan.








Tiada ulasan: